Sejarah Tamadun keyunanian

Rencana–rencana utama: Alexander Agung, Diadochi, dan Zaman Keyunanian

Adalah dianggap bahawa zaman keyunanian ini bermula pada tahun 323 SM, apabila Alexander Agung mangkat di Babylon. Dalam sedekad berperang-perang (mulai 334 SM), Alexander telah menakluki seluruh Empayar Parsi dengan menggulingkan Raja Parsi, Darius III. Antara tanah-tanah yang ditakluki termasuk Asia Kecil, Assyria, Levant, Mesir, Mesopotamia, Media, Parsi, sesetengah bahagian Afghanistan, Pakistan dan kawasan steppe di Asia Tengah.

Alexander tidak membuat sebarang persiapan khas untuk mewariskan takhtanya untuk empayar yang baru ditubuhkannya sebelum mangkat pada usia yang muda, maka pada ketika sebelum mangkat, baginda menyerahkan kuasa kepada "yang terkuat".[4] Natijahnya merupakan peperangan antara panglima-panglimanya (Diadochi, atau 'Pewaris') yang berlarutan selama 40 tahun sebelum tercapainya persetujuan yang lebih kurang utuhnya, yang terdiri daripada empat jajahan utama:

Ini disusuli oleh dua buah lagi kerajaan, iaitu Kerajaan Yunani-Baktria dan Kerajaan India-Yunani.

Setiap kerajaan ini mempunyai pembangunan dan sejarah masing-masing yang nyata tersendiri, tetapi bagi kebanyakan kerajaan ini, sejarahnya berakhir dengan kemerosotan yang beransur-ansur dan penaklukan oleh Republik Rom. Terdapat banyak kitaran persekutuan, pergabungan dan peperangan sesama negeri-negeri ini.[5] Namun demikian, adalah nyata bahawa para pemerintah kerajaan-kerajaan ini masih menggelar diri sebagai kaum Yunani; oleh yang demikianm, mereka mengakui bahawa negeri-negeri keyunanian yang lain juga Yunani dan bukannya 'orang gasar yang menyamun'.

Tahun 146 SM dianggap sebagai penutup tamadun keyunanian, apabila Republik Rom menakluki kebanyakan tanah besar Yunani serta menyerap hampir seluruh Macedon purba. Pada ketika ini, kebangkitan Rom sebagai kuasa politik yang mutlak di rantau Mediterranean hampir lengkap, maka ini mungkin boleh dianggap sebagai bermulanya 'zaman Rom'. Tahun 30 SM juga dianggap sebagai akhir kuasa tamadun keyunanian yang mutlak apabila Kerajaan Keyunanian yang terakhir, iaitu Mesir Ptolemy ditawan oleh Rom (saki-baki empayar Seleucid telah ditakluki 30 tahun sebelum itu).